"Tanyalah Aqasha" - Akhirnya Rita Rudaini Tampil Dedah Kisah Sebenar


Hampir sebulan mendiamkan diri, akhirnya dramatis popular, Rita Rudaini tampil untuk menjelaskan mengenai isu dan dakwaan dibuat isteri pelakon Aqasha, Noor Baizura Mohd Sabri.

Baizura sebelum ini memuat naik ke Instagram perbualan di antara suaminya dan Rita, lantas mendapat perhatian netizen.

Disebabkan kedua-dua pihak, sama ada Aqasha mahupun Rita sendiri tidak memberikan sebarang maklum balas mengenainya, pelbagai andaian dan spekulasi ditimbulkan ramai pihak.

Tidak mahu perkara yang ditimbulkan isteri Aqasha itu terus-terusan mengganggu kerjaya seninya, Rita akhirnya menjelaskan kedudukan sebenar apa yang berlaku antara dia dan Aqasha.

Kata Rita, segala andaian dibuat itu tidak benar dan segala mesej yang ditunjukkan Baizura kononnya sebagai bahan bukti itu, hanyalah sebahagian gurauan sesama pelakon di set penggambaran.

“Saya bukan baru hari ini kenal Aqasha, malah sejak dia berusia 19 tahun. Sepanjang tempoh itu, tidak dinafikan kami memang bersahabat baik.

“Bermula dengan drama Janji Kasih, kami digandingkan dalam beberapa lagi drama seperti Butakah Cinta, Jangan Bunuh Matahariku, Oh Haram 1 dan 2 sehinggalah baru-baru ini, kami sekali lagi berlakon bersama dalam Misi Laksa dan Laksam.

“Sudah lama kami tidak digandingkan bersama, kira-kira empat tahun. Apabila digandingkan lagi dalam drama Misi Laksa dan Laksam untuk siaran TV3, sudah tentu saya sebagai kawan lama gembira dengan perkembangan itu,” katanya.

Rita akui gandingan kali ini berbeza dengan sebelumnya apabila menerusi Misi Laksa dan Laksam, mereka berdua memegang watak suami isteri.

“Memang tidak dinafikan dalam menjayakan watak itu, sebagai kawan lama, kadangkala kami terlepas bergurau. Malah, orang produksi sendiri tahu bagaimana dalam kalangan kami bercanda. Cuma bagi orang luar yang tidak faham, pastinya susah untuk menerimanya.

“Bukan itu saja, dalam menjayakan watak itu kami membayangkan kalau kami benar-benar sebagai suami dan isteri, bagaimana situasinya. Berapa orang anak, rupa mereka macam mana dan apa saja yang boleh kami bayangkan membabitkan karakter dijayakan,” katanya.

Begitupun, kata Rita, perkara itu hanya dalam situasi bekerja dan ia dianggap biasa dalam kalangan pelakon di mana pun, hanya semata-mata mahu memastikan watak dijayakan itu berkesan.

“Contohnya filem Indonesia, Test Pack dijayakan Reza Rahadian dan Acha Septriasa. Sepanjang tempoh mereka menjalani penggambaran filem itu, Acha menugaskan Reza untuk menjemputnya setiap hari di rumah untuk ke lokasi dan merasai hidup bersama sebagai suami isteri semata-mata untuk mendapatkan keserasian.

“Tugasan itu dilakukan Reza sehingga penggambaran Test Pack tamat. Ternyata latihan itu menyebabkan persembahan lakonan diberikan hidup dan Acha menang Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Indonesia pada 2012.

“Itu antara contoh yang saya berikan tetapi sebenarnya setiap pelakon mempunyai cara tersendiri bagaimana hendak menghidupkan watak diberikan mengikut latar watak dan juga jalan cerita.

“Pada saya dan Aqasha, memandangkan kami memang sudah berkawan baik sejak dulu, jadi mencari keserasian itu agak mudah.

“Cuma kadangkala, apabila mendapat projek berbeza sudah pasti cara untuk mewujudkan keserasian itu juga berbeza. Namun, apabila ada yang melihatnya pada sudut berbeza, ia disalah tafsir dan menganggapnya sesuatu yang negatif,” katanya.

Rita akui enggan mengulas atau memberi penjelasan dari awal kerana melihat situasi itu tengah panas dan tidak sesuai untuk terus masuk campur.

Baru sekarang dia mahu tampil dan memberi penjelasan mengenai perkara ditimbulkan itu sehingga dirinya teruk dikecam netizen menerusi laman sosial milik Baizura mahupun Rita sendiri.

Katanya, dalam situasi isu tengah panas dan pelbagai pihak menuding jari dan menuduhnya dengan dakwaan yang bukan-bukan, dia tidak mahu sebarang kenyataan yang diberikan kelak ibarat seperti menyimbah minyak ke bara api.

“Sekarang saya tampil kerana isu sudah reda dan drama itu pun mula diperkatakan terutama apabila TV3 dan penerbit, Zeel Production memuat naik beberapa sedutan drama yang kami jayakan ke laman sosial mereka.

“Sekurang-kurangnya dengan kenyataan yang saya berikan ini, umum faham kedudukan sebenar dan jangan pula nanti ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan sedutan terbabit dan memburuk-burukkan lagi situasi,” katanya.

Menjelaskan beberapa dakwaan lain, seperti ada yang menuduhnya kini sudah menikah dengan Aqasha secara senyap-senyap.

Dengan tegas Rita menyatakan, sebarang perkara lain bukan urusannya terutama membabitkan hal berkaitan peribadi. Baginya, apa yang diperjelaskan semata-mata atas alasan kerjaya dan tidak mahu ada pihak tersalah tafsir mengenainya.

“Saya juga berharap kenyataan yang saya berikan ini adalah yang pertama dan terakhir serta ia menjelaskan segala-galanya. Saya tidak mahu lagi bercakap mengenainya.

“Sekiranya ada perkara lain yang mahu ditanya, ada baiknya mereka tanyakan kepada Aqasha sendiri kerana yang mencetuskan isu ini bukan daripada pihak saya tetapi daripada pihak dia,” katanya. 




Sumber asal: Harian Metro