''Saya dah tak lama kat rumah ni'' Kisah Ngeri Mangsa-Mangsa Seakan Tahu Akan Pergi


''Semalam, dia (mangsa) keluar dari rumah kira-kira pukul 10 malam dan ada memberitahu hendak berbasikal.

“Dia berpesan supaya ibu mengunci sahaja pintu utama rumah sebab mungkin dia tidak balik ke rumah pada malam itu. Namun sekitar pukul 3 pagi, kami menerima panggilan daripada kawan-kawannya memberitahu arwah terlibat dengan kemalangan.” 


Demikian cerita Nurul Ain M Azahar, kakak kepada Muhammad Firdauz Danish, seorang daripada lapan remaja lelaki berbasikal yang maut dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam dekat sini awal pagi terdahulu.

Muhammad Firdauz Danish sepatutnya mendaftar masuk ke asrama Kolej Antarabangsa E-Access, Kulai isnin ini, bagi mengikuti jurusan latihan automatif.

“Sebelum ini, arwah, 16, pernah bercakap dengan keluarga bahawa dia tidak akan lama di rumah kerana selepas ini tiada tetapi kami mengganggap ia hanya biasa-biasa sebab dia memang hendak masuk asrama, tidak tahu pula dia betul-betul hendak pergi,” katanya.

Menceritakan perwatakan adiknya, Nurul Ain berkata arwah meminati aktiviti berbasikal sejak berada di Tingkatan Satu dan seringkali bermain di kawasan Taman Damai Jaya, di sini.

Dia juga merupakan seorang peramah dan tidak suka bersendirian.

Jenazah Muhammad Firdauz Danish dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Teh di sini selepas waktu Asar.

Keluarga Haizad Kasrin, seorang lagi daripada lapan remaja lelaki berbasikal yang maut di rempuh sebuah kereta, telah beberapa kali melarang remaja itu daripada terlibat dengan aktiviti berkenaan.

Kakak mangsa, Aspalilah Kasrin, berkata ibu mereka, Jamilah Sulaiman, 54, tidak sukakan adiknya itu bermain berbasikal di bandar raya kerana terlalu bahaya.

“Haizad juga sering keluar malam semata-mata kerana berbasikal, sebab itu emak tidak suka tetapi dia tetap hendak pergi juga,” katanya kepada pemberita di perkarangan bilik mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.

Aspalilah berkata, Haizad, 16, adalah anak kelapan daripada sembilan adik beradik mula berjinak-jinak dengan aktiviti berbasikal sejak tahun lepas selepas melihat penglibatan rakan-rakan sekolahnya.

Arwah juga disifatkan anak yang sangat rapat dengan ibunya sejak ayah mereka, Kasrin Sukemi meninggal dunia akibat sakit tua pada Julai 2015.

“Semalam, saya baru cakap dengan emak, hendak balik ke rumah keluarga di Plentong (Pasir Gudang) kerana mahukan dia (mangsa) memperbaiki motosikal anak saya tetapi belum apa-apa, sudah jadi begini,” katanya.

Jenazah Haizad akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tengkorak, Plentong, selepas waktu Asar.



Sumber asal: eberita.org 

Artikel ini hanyalah perkongsian dari pelbagai laman web, blog dan media sosial. Sekiranya perkongsian gambar atau artikel yang dilaporkan disalahertikan kami tidak akan bertanggungjawab. Hubungi kami di ohwhuuut@gmail.com untuk sebarang aduan atau maklumbalas.