Tiada Kes Penculikan Ngeri Berlaku Seperti Didakwa, Wanita Sebar Cerita Palsu Ditahan

Berita palsu yang dimuat naik dalam Facebook bernama Wan Ayuni. 


JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang wanita selepas didapati memuat naik berita palsu dalam Facebook kononnya mayat dua kanak-kanak mangsa culik ditemui di tepi sungai di negeri ini dengan keadaan organ dalamannya sudah dikeluarkan. 

 Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata suspek berusia 32 tahun itu ditahan di kediamannya di Desa Coalfields, Sungai Buloh dekat Selangor kira-kira jam 6.30 petang, hari ini. 

"Wanita terbabit memuat naik berita palsu berkenaan dalam Facebook bernama Wan Ayuni untuk tujuan dilihat dan dibaca orang ramai. 

 "Saya sudah menegaskan tiada kejadian seperti itu dilaporkan berlaku di Johor dan perbuatan sedemikian boleh menimbulkan keresahan serta suasana tidak tenteram kepada orang ramai," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

 Wan Ahmad Najmuddin berkata, wanita berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

"Pemilik akaun terbabit ditahan sebagai satu pengajaran kepada pengguna internet yang lain supaya tidak menyalahgunakan aplikasi berkenaan bagi menyebarkan berita palsu," katanya.





Sumber asal : bharian.com.my