Kereta Remy Ishak Pernah Hilang, Rumah Pernah Dipecah Masuk.. Nasib Remy Ishak Sekarang Sangat Kritikal


KUALA LUMPUR 16 Sept. – Pelakon popular, Remy Ishak percaya individu terlibat menganiaya diri­nya sehingga menyebabkan rumah diserbu polis semalam merupakan orang sama yang membuat ugutan bunuh sebelum ini. 


Laman Twitter Remy Ishak.

Remy atau nama sebenar­nya, Mohammad Zalimei Ishak, 34, berkata, kediamannya di Serdang telah diserbu oleh polis kira-kira pukul 1 pagi tadi setelah me­nerima aduan daripada orang ramai bahawa terdapat kegiatan dadah

Bagaimanapun, Remy yang ketika ini berada di luar kawasan terkilan apabila pihak berkuasa menyer­bu rumahnya tanpa mem­perkenalkan diri sehingga memaksa dia sendiri bercakap de­ngan polis menerusi telefon untuk mendapatkan kepastian.

“Saya syak aduan ini diterima daripada individu sama yang membuat ugutan bunuh terhadap saya baru-baru ini. Saya tinggal di situ sudah agak lama. Tidak pernah ada masalah pun. Jadi bagaimana tiba-tiba terima aduan kegiatan dadah di situ?

“Pihak polis juga sedia maklum, keselamatan saya dan keluarga sekarang berada di dalam keadaan yang cukup membimbangkan. Saya tidak mahu mengulas panjang dan berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan segera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pelakon Nur Kasih itu menerusi laman sosial Twitter @remy_ishak telah memuat naik sekeping gambar menunjukkan pihak polis menyerbu rumahnya di Serdang walaupun pelakon itu tiada di rumah.

“Polis serbu rumah walaupun saya tiada di sana. Lepas ugut bunuh, sekarang dia aniaya pula,” kata pelakon itu menerusi laman Twitter miliknya.

Sebelum ini, Remy membuat beberapa laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan bunuh daripada seorang lelaki yang diupah seorang wanita berstatus kenamaan.

Ugutan itu didakwa berpunca daripada keengganan pelakon itu untuk bertemu dengan wanita yang dikatakan berasal dari sebuah negeri di Pantai Timur.

Dalam pada itu, Remy berkata, dia dan keluarganya kini dalam keadaan cukup trauma dan panik setelah keselamatan mereka sekeluarga terganggu.

“Sebelum ini kereta saya hilang, rumah saya juga pernah dipecah masuk. Malah, saya juga telah menerima ugutan bunuh. Keselamatan saya kini berada di tahap yang membimbangkan,” katanya yang mengakui terpaksa merahsiakan lokasi dia berada kerana bimbang dengan keselamatannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohammad Aminuddin Megat Alias mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu serbuan ke atas rumah itu adalah berdasarkan maklumat awam.

Ujarnya, pihak polis me­nerima maklumat bahawa terdapat aktiviti penyalahgunaan dadah di rumah tersebut dan serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang sebagai respon kepada maklumat berkenaan.

“Kita hanya bertindak berdasarkan maklumat yang diterima dan kami juga tidak mengetahui kediaman tersebut milik pelakon atau sesiapa pun. Bagaimanapun, tiada sebarang unsur jenayah ditemukan ketika serbuan dan kita akan menyiasat lebih lanjut mengenai perkara ini,” katanya.





Sumber asal: utusan.com.my