Polis siasat kemungkinan wujud unsur rekaan kes culik

ANGGOTA polis tiba di rumah mangsa culik Darleen Dazeera Azhar, yang untuk membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk mengambil keterangan selepas mangsa ditemui semula selepas di culik di hadapan rumahnya di Jalan Suasana 4/2 Bandar Tun Hussein Onn, Cheras. - Foto Mohd Yusni Ariffin 


KUALA LUMPUR: Polis menyiasat kemungkinan kes melarikan pelajar tingkatan 3, Sekolah Menengah Bandar Tun Hussein Onn, 2 di Kajang, pagi tadi sengaja dirancang. 

Ini kerana ada pelbagai elemen mencurigakan selain faktor kemungkinan mangsa Nur Darleen Dazeera Azhar, 15, mengenali suspek yang berusia 20-an dan seorang lagi rakannya. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat, berkata siasatan kes berkenaan dijalankan dari semua aspek bagi membolehkan motif sebenar kejadian dikenalpasti. 

"Setakat ini kita belum dapat menyimpulkan lagi situasi sebenar kejadian sehingga siasatan selesai termasuk membawa mangsa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. 

"Selain itu, kita mengambil kira faktor menjaga sensitiviti keluarga berhubung siasatan susulan yang dijalankan sebelum perkara sebenar dikenalpasti," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi. 

Katanya, suspek mempunyai rekod jenayah lampau berhubung satu kes jenayah yang sama di Kajang sebelum ini. 

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada suspek terbabit mempunyai hubungan dengan mangsa. 

Pada masa ini siasatan dijalankan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan orang dan operasi mengesan suspek giat dilakukan.





Sumber asal : bharian.com.my