Kaki Awie Bengkak Tanpa Punca


KUALA LUMPUR: Penyakit misteri yang membuatkan Awie sukar berjalan sejak beberapa hari lalu tidak mematahkan semangat penyanyi itu untuk meneruskan latihan bangsawan Tun Mamat Dan Puteri Gunung Ledang. 

Pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman itu berkata, tanggungjawab sebagai persediaan menjayakan pementasan di Istana Budaya bermula 30 September dan 1 Oktober depan perlu dilunaskan supaya tidak menyusahkan orang lain. 

Katanya, berdepan situasi membabitkan kesihatan itu bukan penghalang buatnya mencari rezeki demi anak-anak tambahan pula keadaannya kini sudah beransur pulih. 

"Alhamdulillah, kaki saya beransur baik selepas beberapa hari tidak boleh berjalan. Saya ada melakukan pemeriksaan dengan doktor pakar mengenai kesakitan pada bahagian kaki saya ini. 

"Doktor pakar pun sukar untuk mengagak penyakit yang saya alami kerana ia bukan gout atau bengkak biasa. Sebagai alternatif, saya turut mendapatkan khidmat rawatan tradisional. 

"Walaupun belum sembuh sepenuhnya, saya gagahkan juga mengikuti latihan Tun Mamat. Sokongan rakan lain yang menjayakan teater ini juga antara pemangkin semangat. Masing-masing menunjukkan komitmen untuk teater ini," katanya kepada BH Online. 

Tun Mamat Dan Puteri Gunung Ledang yang juga arahan Lokman Ghani berkisar sejarah Melayu Melaka dengan turut membariskan Vanidah Imran dan Datuk Jalaluddin Hassan selaku teraju utama. 

Terdahulu, vokalis kumpulan Wings itu pernah mendakwa dirinya menjadi mangsa buatan orang hingga menyebabkan kesihatannya terjejas. 

Beliau juga turut mengakui mengalami beberapa kejadian pelik termasuk muntah yang mengandungi jarum serta bulu ayam.





Sumber asal : bharian.com.my