Jamal tak izin anak datang



Osama tidak diberi keizinan oleh Jamal untuk datang ke Konsert 3 Suara. FOTO Osama


Kuala Lumpur: Penyanyi Datuk Jamal Abdillah tidak mengizinkan anak sulungnya, Osama Yamani menonton persembahannya pada Konsert 3 Suara di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), minggu depan.

Biarpun menggalakkannya menceburi bidang muzik dengan memasuki Sekolah Seni Johor di Pasir Gudang, Johor, penyanyi legenda itu bertegas tidak mengizinkan Osama, 15, menonton persembahan akan berlangsung pada 22 hingga 25 September itu.

Penyanyi bergelar Raja Pop itu berkata Osama berada dalam tingkatan tiga dan perlu fokus terhadap pelajaran kerana bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 tidak lama lagi dan perlu melupakan seketika minat terhadap muzik.

“Konsert akan berlangsung pada hari persekolahan dan Osama berada di Johor. Saya tidak benarkan dia pulang semata-mata mahu menyaksikan konsert.

"Walaupun itu sekolah seni, pelajaran akademik lain juga diajar dan saya tidak mahu Osama mengabaikan perkara itu. Saya mahu dia fokus sepenuhnya terhadap pelajaran," katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, Jamal pernah menampilkan Osama dalam Konsert Nostalgia di Istana Budaya pada 2014.

Osama menyampaikan lagu Derita Cinta, Hingga Tiba Saat Itu dan turut berduet dengan Jamal menerusi lagu Azura. Persembahannya mendapat pujian ramai penonton.

"Saya tahu ramai nak tengok Osama beraksi dalam Konsert 3 Suara. Kali ini biarlah mereka lihat saya menyanyi bersama Ameng Spring, Zamani Slam dan adik saya Jamilul Hayat.

"InsyaAllah selepas Osama tamat belajar, saya ada perancangan untuk berkolaborasi dengannya dalam persembahan.

"Saya selalu bayangkan saya akan menyanyi manakala Osama memetik gitar,” katanya yang mahu Osama menjadi pengarah muzik berjaya seperti Datuk Ramli MS.

Sambungnya lagi, Osama ada ciri-ciri penyanyi yang baik.

"Bagaimanapun dia masih ada kelemahan dari segi patah lagu dan perlu diperbaiki. Apapun saya tidak boleh lawan kemampuannya bermain alat muzik.

"Bahkan, dia pelajar terbaik jurusan muzik tahun ini," katanya bangga.

Sementara itu, sebagai anak, Osama akur dengan keputusan Jamal.

"Kalau ikut hati memang saya nak tengok konsert babah kerana dia penyanyi hebat. Saya teringin ambil bahagian dalam persembahan kerana ia menyeronokkan.

"Namun, apakan daya sekolah akan dibuka semula Isnin ini dan sebagai pelajar saya perlu menghadirkan diri seperti biasa.

“Babah sokong minat saya dalam seni tetapi dia sering mengingatkan tanggungjawab saya sebagai pelajar.

"Apapun saya gembira kerana babah akan menghasilkan single terbaru dan akan berduet dengan saya," katanya.

Osama mula belajar di Sekolah Seni Johor pada tahun lalu dan berkebolehan bermain gitar, bass, dram serta piano. 





Sumber asal: hmetro.com.my